Tuesday, 30 December 2014

Karangan Perihal Diri untuk MARA

Perihal Diri, Perancangan Pengajian dan Kerjaya

Saya Jahirah Juwairiyah bt Abdul Latif merupakan pelajar lepasan Asasi Teknologi Maklumat di Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor(KUIS) dan kini menyambung pengajian ke peringkat ijazah di kolej yang sama. Saya dilahirkan pada 26 Ogos 1992 dan kini umur saya mencecah 22 tahun. Mendapat pendidikan rendah di Sekolah Kebangsaan Sungai Tengas dan kemudiannya menyambung pelajaran dalam bidang agama di Sekolah Menengah Islam Darul Ulum yang terletak di perkampungan Pokok Sena di daerah Alor Setar. Dengan Sijil Shahadah (Arab)  yang saya perolehi, saya tidak mampu menyambung pengajian di peringkat yang lebih tinggi memandangkan sijil saya tidak diiktiraf di Malaysia. Ketika umur saya mencecah 20 tahun iaitu pada tahun 2012, saya telah mendaftarkan diri sebagai calon SPM di Sekolah Menengah Tengku Mahmood. Berbekalkan SPM yang saya perolehi, saya kemudian menyambung pelajaran saya di kolej yang telah saya nyatakan di atas. Ayah kandung saya Abdul Latif b. Che Din telah meninggal dunia ketika saya di tingkatan 4 manakala ibu saya, Rosliza bt. Rasidi menyara saya dan 5 orang adik-beradik dengan berniaga sendiri.
Melihat minat saya yang agak mendalam kepada dunia teknologi serta kekurangan pakar teknologi maklumat dalam kalangan umat Islam telah memberi semangat kepada saya untuk menceburkan diri dalam bidang ini. Kemahiran-kemahiran yang sedang dan bakal saya perolehi dalam semester ini dan semester-semester akan datang, akan saya manfaatkan sebaik mungkin. Saya sangat bercita-cita untuk menyampaikan dakwah saya melalui medan teknologi yang kini menjadi suatu keperluan kepada masyarakat seluruh dunia. Setelah menggenggam segulung ijazah, saya juga berhasrat untuk meneruskan pengajian ke peringkat seterusnya.
Berkenaan soal kerjaya, saya tidak terfikir untuk berkerja sepenuhnya di syarikat-syarikat sedia ada sebaliknya saya berhasrat untuk membina sebuah perniagaan sendiri. Dengan kemahiran yang saya perolehi, saya ingin membuka sebuah pusat komputer yang menawarkan pelbagai khidmat seperti pengaksesan Internet, kursus-kursus berkaitan komputer dan sebagainya. Saya juga berharap khidmat saya dalam projek-projek berkaitan Multimedia diperlukan walaupun saya tidak bekerja di bawah syarikat-syarikat tertentu. Namun begitu, untuk mencapai kejayaan ini saya sedar saya perlu mempelajarinya terlebih dahulu melalui pengalaman-pengalaman bekerja dengan orang lain. Perkara ini akan saya jadikan cabaran dan pengajaran sebelum membina kerjaya sendiri.

Sekian sahaja serba sedikit maklumat tentang diri, perancangan pengajian dan kerjaya yang ingin saya capai.


**Harap-harapnya, perkongsian aku ni dapat lah membantu u alls yang terpinga-pinga nak buat karangan untuk MARA.. :)

No comments:

Post a Comment